SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- World #QuranHour yang memasuki sedekad penganjuran tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac dengan Surah al-Saff menjadi surah pilihan bagi program berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata pemilihan Surah al-Saff, antara lain kerana mengandungi seruan supaya umat Islam bersatu dan mencontohi semangat Hawariyyun, iaitu para pembantu agama Allah dalam menyebarkan nilai-nilai al-Quran ke seluruh dunia.
Beliau berkata program kali ini mengangkat tema "#SavingTheUmmah" dan pihaknya amat mengharapkan komitmen berterusan media tempatan untuk terus berkongsi sinergi menguar-uarkan kempen World#QuranHour agar gelombang baca, faham dan amal al-Quran berkembang kepada lebih banyak negara.
"Penyatuan dan sinergi media selama sedekad telah mencetuskan impak perkembangan gelombang al-Quran dari Malaysia ke seluruh dunia apabila kempen #QuranHour merangkumi World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranCovention kini mencecah 7.89 bilion capaian di media sosial sejak dimulakan pada 2015.
"Kempen yang diinspirasikan daripada program Let's Read Together For 10 Minutes anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 2014 ini juga telah diadakan di 313 lokasi melibatkan 76 negara," katanya semasa Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1446H di sini hari ini.
Dijadual bermula pada 12 hingga 1 tengah hari, program World #QuranHour bakal menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada Surah al-Saff yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan QuranHour.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM merupakan lokasi perdana pertama kempen itu pada 2016.
-- BERNAMA