AM

Bekas Ketua Penyunting Bahasa Inggeris Bernama Karrima Mohd Seth Meninggal Dunia

26/02/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bekas Ketua Penyunting Bahasa Inggeris Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Karrima Mohd Seth meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Adik Allahyarham, Fawziah memaklumkan Karrima, 78, yang menghidap komplikasi pernafasan menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi.

“Pagi tadi saya ada bersama arwah (di hospital), semasa saya balik ke rumah pada 12.30 tengah hari, sejurus tiba di rumah saya dapat mesej kakak saya sudah tiada. 

“Arwah memang menghidap sesak nafas, alami masalah paru-paru berair dan tekanan darahnya tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Fawziah berkata jenazah dijangka dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau menyifatkan Karrima sebagai guru dan penyunting yang baik dan sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas.

“Saya berpeluang belajar banyak perkara daripada beliau. Allahyarham juga seorang pemurah,” katanya.

Karrima berkhidmat di Bernama pada 16 Nov 1970 hingga 16 Mei 1989.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting bermula sebagai wartawan kadet pada 1970, eksekutif berita (1975), eksekutif berita kanan (1986) dan editor meja bahasa Inggeris pada 1988 sebelum menamatkan perkhidmatan setahun kemudian.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396997