PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa lebih sebulan untuk melengkapkan rakaman percakapannya berkaitan siasatan 1MDB.
Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang juga Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016 berkata beliau tidak dapat mengingati jumlah hari yang tepat, namun mengesahkan bahawa ia sememangnya melebihi sebulan.
Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai saksi pembelaan ke-12 pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
"Kadangkala rakaman mengambil masa sepanjang hari. Ada beberapa kali berlanjutan hingga pukul 7 atau 8 malam. Proses ini berterusan lebih kurang sebulan,” katanya.
Saksi itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau memperuntukkan tempoh 20 jam berbincang bersama pasukan peguam Najib bagi menyediakan penyataan saksi setebal 200 muka surat.
"Yang Arif, saya telah berusaha sedaya upaya untuk mengemukakan apa yang benar-benar berlaku, apa sebenarnya berlaku dan apa jelas berlaku dalam operasi 1MDB ketika saya menjadi pengarah dan kemudian pengerusi,” katanya.
Ditanya mengenai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Che Lodin menyatakan beliau hanya melihat Jho Low buat kali pertama ketika mesyuarat 1MDB pada 26 Sept 2009.
"Saya telah bertanya kepada setiausaha syarikat mengapa Jho Low hadir dalam mesyuarat kami kerana beliau bukan seorang pengarah atau petugas," kata Che Lodin sambil menambah bahawa beliau tidak tahu siapa yang mengundang Low.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA