KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 87 orang daripada 23 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Telupid akibat banjir setakat 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 67 orang daripada 17 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Rancangan Nagoh, manakala 20 orang daripada enam keluarga berlindung di Balai Raya Kampung Maau.
“Dua lagi PPS iaitu Dewan Kampung Bambangan dan Masjid Lama Kampung Gana Jati dalam proses pendaftaran mangsa,” menurut kenyataan itu.
Telupid ialah daerah di pedalaman Sabah yang terletak lebih 200 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Paitan merupakan daerah terbaharu dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka pada malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Paitan Joloning Joe Majambu dalam kenyataan memaklumkan rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kokos telah dijadikan PPS.
“Daerah Paitan kini diisytiharkan berlaku bencana banjir dan mangsa sedang dipindahkan ke PPS,” katanya yang juga Pegawai Daerah Paitan.
Paitan merupakan daerah pedalaman di Sabah yang terletak lebih 230 kilometer arah Timur Kota Kinabalu.
-- BERNAMA