SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yakin sasaran 50 koperasi sekolah mencapai perolehan melebihi RM1 juta boleh dicapai menjelang akhir tahun ini.
Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sasaran itu mampu direalisasikan susulan kejayaan 38 koperasi sekolah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta tahun lepas.
"Tahun lepas kita menyasarkan 30 buah sekolah tetapi dengan strategi yang betul, jumlah koperasi sekolah yang berjaya merekodkan perolehan melebihi RM1 juta meningkat kepada 38 buah.
"Saya lihat perkembangan ini seperti teori domino, apabila ada satu sekolah mula memperoleh RM1 juta, maka sekolah lain khususnya baki 12 daripada 50 yang disasarkan akan menyusul merekodkan perolehan lebih RM1 juta,” katanya.
Abdul Fattah yang juga Presiden Kesatuan Koperasi ASEAN (ACO) berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas melancarkan Program Aspirasi 1 Juta Koperasi Sekolah Negeri Selangor 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning di sini hari ini.
SMK Kota Kemuning dipilih menjadi tuan rumah ekoran kejayaan membuat perolehan RM2.1 juta tahun lepas, sekolah kedua merekodkan perolehan melebihi RM2 juta selepas Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan.
Abdul Fattah berkata elemen digitalisasi banyak menyumbang kepada pertambahan perolehan koperasi sekolah melalui kreativiti masing-masing dalam mempelbagaikan strategi jualan produk.
“Melalui digitalisasi, pelanggan yang berdaftar serta komuniti berdekatan boleh mengakses barangan yang dijual selain dapat melakukan pembelian pada kadar harga yang lebih baik,” katanya.
Ketika ini, terdapat 2,499 koperasi sekolah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di seluruh negara.
-- BERNAMA