AM

MAINPP Giat Bangun Tanah Wakaf Di Pulau Pinang, Contohi Model Mesir

26/02/2025 07:25 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan terus mempergiat usaha membangunkan aset wakaf termasuk dalam sektor perumahan, pendidikan dan pembangunan komuniti dengan mengambil contoh kejayaan model pembangunan wakaf Mesir.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata seiring Agenda Pembangunan Agama Islam-Pulau Pinang 2030 (APAI2030), kerajaan negeri melihat wakaf sebagai instrumen strategik bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan institusi Islam.

Beliau berkata pelbagai projek dan pembangunan hartanah wakaf telah dan sedang dilaksanakan bertujuan mengukuhkan pemilikan hartanah bumiputera serta memperluas akses kepada perumahan mampu milik dan kemudahan sosial.

“Model pembangunan wakaf Pulau Pinang telah dimulakan sejak dahulu sebagai contoh wakaf perumahan iaitu wakaf pembangunan Siti Aisyah I pada 2012 dan sekarang ini wakaf pembangunan Siti Aisyah II.

“Selain itu rancangan wakaf pendidikan iaitu pembangunan KITAB (Kolej Islam Teknologi Antarabangsa) Pulau Pinang sebagai Bandar Pintar Pendidikan di Bandar Cassia, Batu Kawan yang sedang dibangunkan di kawasan berkeluasan 17.3 ekar (7.1 hektar) sebagai tanah wakaf Irsod atau tanah yang dianugerahkan oleh pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Khas Wakaf sempena lawatan rasmi Menteri Wakaf Mesir Al-Allamah As-Syeikh Dr Usamah As-Sayyid Mahmud Muhammad Al-Azhari di Anjung Seri Mutiara, di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata lawatan itu merupakan kunjungan balas terhadap kunjungan Ahmad Fuzi dan delegasi kerjaaan negeri ke Kaherah, baru-baru ini dan ia satu penghormatan besar sekali gus mencerminkan hubungan baik antara Pulau Pinang dengan Mesir terutama dalam pengurusan wakaf.

Pembentangan oleh Dr Usamah berkaitan model pembangunan wakaf Mesir, katanya turut membuka potensi kepada lebih banyak tanah wakaf untuk dibangunkan di negeri ini yang boleh memanfaatkan umat Islam untuk jangka masa panjang.

“Melalui wakaf Istibdal, dari segi dana kita boleh membeli dan mengambil alih tanah-tanah bendang dan dusun di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, iaitu hasil pertanian yang dibangunkan boleh dimanfaatkan umat Islam. 

“Kerajaan Mesir turut bersetuju untuk kita mewujudkan satu kursi ‘endowment’ yang kita namakan sebagai Al-Azhar Endowment Chair Professor yang akan wujudkan dengan kerjasama kerajaan Mesir melalui MAINPP bagi membolehkan kajian dan perbincangan mengenai pembangunan wakaf khusus untuk negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396942