AM

Tanaman Arwah Ibu Cetus Ilham Hashim Man Lakar Karya Ilustrasi Botani

26/02/2025 11:02 PM

LANGKAWI, 26 Feb (Bernama) -- Kuntuman bunga kantan tanaman arwah ibu menjadi sumber ilham kepada seorang pelukis, Hashim Man dalam menghasilkan karya untuk dipamerkan sempena program Ilustrasi Botani: Rasa Alam di Balai Seni Negara (BSN) di sini.

Hashim yang juga seorang penulis dengan nama pena Ubi Marchino berkata memori bersama ibunya menyuntik semangat untuk beliau menghasilkan karya tersebut bagi menjayakan pameran yang bermula hari ini hingga 31 Julai.

Artis dari Kuala Lipis, Pahang itu yang karyanya banyak dipamerkan di Pameran Members Only di BSN serta program seni pedalaman di Bakun, Sarawak berkata lukisan bunga kantan yang diberi tajuk 'Penyeri Rasa', menggunakan media akrilik atas kertas.

"Apabila BSN menjemput saya menyertai program ini, saya terus tertarik dengan perkataan 'Rasa Alam' kerana saya juga seorang pemandu pelancong alam semula jadi, justeru tema ini amat sinonim dengan saya," katanya ketika ditemui di BSN di sini hari ini.

Seorang lagi artis, Dr Zaimie Sahibil dari Sabah pula berkata limau nipis atau nama saintifiknya Citrus Aurantifolia menjadi subjek karyanya yang menggunakan media cat air atas kertas.

"Program ini sangat menarik dan saya ingin mencadangkan pada masa akan datang ia dibuat di lapangan agar lakaran yang dihasilkan lebih terperinci dan tepat.

"Mungkin boleh libatkan individu selain artis, misalnya bidan kampung kerana mereka lebih mengenali tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat dalam perubatan tradisional. Mereka kadangkala lebih arif kerana mempunyai kepakaran yang diwarisi turun-temurun," kata pensyarah kanan di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah itu.

Hasil karya Hashim dan Zaimie merupakan antara 24 karya ilustrasi botani atas kertas yang dipamerkan bersama dua arca dan dua animasi AR sempena program itu. 

Sementara itu, Ketua Pengarah BSN Amerrudin Ahmad berkata sebanyak 14 seniman termasuk pengarca, pelukis, tenaga pengajar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dijemput menjayakan Program Kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam.

"Mereka berjumpa dan bertukar fikiran dalam memahami dan mengungkap kepentingan herba di persekitaran pulau ini dalam bentuk visual," katanya.

Beliau berkata ia juga merupakan antara misi BSN dalam mempromosi dan menyebarkan pengetahuan mengenai botani, di samping memperkukuhkan kesedaran tentang pemuliharaan biodiversiti serta kepentingan flora dalam ekosistem dan warisan budaya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397033