Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan indeks petunjuk pasaran turun 0.75 peratus sejajar dengan prestasi pasaran serantau lain apabila sentimen pelabur terjejas susulan pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.90 mata kepada 1,574.70 daripada 1,586.60 pada Khamis.
Petunjuk utama pasaran itu dibuka rendah turun 4.63 mata kepada 1,581.97, paras tertinggi intra harinya dan susut ke paras terendah intra harinya pada 1,573.82 semasa sesi dagangan pagi.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 864 berbanding 257, manakala 378 kaunter tidak berubah, 878 tidak diniagakan dan 67 digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 4.39 bilion unit bernilai RM6.45 bilion daripada 2.89 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Khamis.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Trump mengesahkan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada, beserta tambahan tarif 10 peratus ke atas China, akan berkuat kuasa pada 4 Mac seperti yang dirancang.
Beliau berkata walaupun prestasi lemah di pasaran Bursa Malaysia, saham perbankan dan pertanian menunjukkan daya tahan di tengah jualan besar-besaran.
"Mengikut sektor, indeks teknologi mengalami penurunan terbesar dalam dagangan hari ini sebanyak hampir 5.0 peratus, diikuti oleh indeks produk dan perkhidmatan pengguna.
"Sebaliknya, indeks perkhidmatan kewangan adalah satu-satunya indeks sektor yang mencatatkan kenaikan, mencerminkan minat pelabur yang kukuh terhadap saham perbankan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran semasa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata keputusan kewangan tahun penuh 2024 bagi sektor perbankan menunjukkan kebanyakan bank melaporkan pendapatan sejajar dengan jangkaan, mencerminkan asas stabil sektor itu walaupun ketidaktentuan makroekonomi berterusan.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, kebanyakan pasaran utama di seluruh rantau ini mencatatkan penurunan apabila sentimen pelabur terjejas oleh penjualan besar-besaran dalam saham teknologi AS, khususnya Nvidia.
.Walaupun mencatatkan pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan, margin keuntungan Nvidia "sedikit membimbangkan”, katanya.
"Bagi bursa tempatan, indeks petunjuk pasaran yang berlegar pada paras 1,570-1,580, kekal dalam fasa penstabilan, berikutan ketiadaan pemangkin baharu dan aliran keluar asing yang berterusan,” kata Thong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Maybank naik enam sen kepada RM10.72, Public Bank dan Tenaga Nasional menambah empat sen masing-masing kepada RM4.53 dan RM13.60, IHH Healthcare meningkat 14 sen kepada RM7.45 dan CIMB turun 41 sen kepada RM7.81.
Dalam kalangan saham cergas, Genting Malaysia susut 46 sen kepada RM1.90, Inari Amertron turun 12 sen kepada RM2.07, manakala My E.G.Services dan Gamuda susut lapan sen setiap satu masing-masing kepada 87.5 sen dan RM4.36 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 183.63 mata kepada 11,736.32, Indeks FBMT 100 jatuh 170.39 mata kepada 11,496.57, Indeks FBM Emas Shariah susut 184.01 mata kepada 11,411.778, Indeks FBM berkurangan 580.27 mata kepada 16,636.63 dan Indeks ACE FBM merosot 66.98 mata kepada 4,756.99.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.78 mata kepada 158.35, Indeks Tenaga turun 13.06 mata kepada 754.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 89.49 mata kepada 19,326.95 manakala Indeks Perladangan meningkat 27.85 mata kepada 70,609.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.08 bilion unit bernilai RM6.22 bilion daripada 1.65 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 895.42 juta unit bernilai RM86.33 juta berbanding 914.73 juta unit bernilai RM127.51 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 409.10 juta unit bernilai RM139.80 juta berbanding 320.50 juta unit bernilai RM107.68 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 758.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (438.16 juta), pembinaan (238.43 juta), teknologi (594.21 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (253.11 juta), hartanah (187.23 juta), perladangan (47.87 juta), REITS (48.85 juta), dana tertutup (3,800), tenaga (267.04 juta), penjagaan kesihatan (97.09 juta), telekomunikasi dan media (59.83 juta), pengangkutan dan logistik (36.38 juta), utiliti (59.71 juta), dan amanah perniagaan (27,800).
-- BERNAMA