PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Susulan Perang Perdagangan Meningkat

28/02/2025 07:44 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan kebimbangan terhadap perang perdagangan semakin meningkat yang memberi kesan kepada sentimen.

Presiden AS, Donald Trump berkata pada Khamis iaitu tarif 25 peratus yang dicadangkannya ke atas barangan Mexico dan Kanada berkuat kuasa Selasa depan bersama dengan cukai tambahan 10 peratus ke atas import dari China.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4600/4650 daripada 4.4410/4480 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan melepasi paras sokongan segera pada RM4.45 hari ini.

"Selain daripada kebimbangan mengenai perang perdagangan, pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) nampaknya cenderung untuk mengekalkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6174/6237 daripada 5.6303/6392 dan naik berbanding euro kepada 4.6362/6414 daripada 4.6559/6633, tetapi sedikit lemah berbanding yen Jepun kepada 2.9682/9717 daripada 2.9634/9683.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN kecuali bagi peso Filipina apabila ia melemah kepada 7.69/7.70 daripada 7.67/7.69.

Ringgit berkembang berbanding dolar Singapura kepada 3.3069/3108 daripada 3.3122/3177, menokok berbanding baht Thai kepada 13.0455/0670 daripada 13.0964/1240 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 268.7/269.1 daripada 269.8/270.4.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397788