AM

Kompleks Sukan Dan Rekreasi Sony Seberang Jaya Dinaik Taraf

02/03/2025 05:38 PM

BUTTERWORTH, 2 Mac (Bernama) -- Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya di sini bakal berwajah baru susulan projek menaik taraf serta penyediaan beberapa kemudahan sukan baharu, seterusnya menjadikan ia hab melahirkan bakat baharu dalam kalangan anak Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek bernilai RM12 juta itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Sportizza Sdn Bhd, yang memenangi tender terbuka melalui permintaan untuk cadangan (RPF) bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf, mengurus dan menyelenggara kompleks sukan berkenaan.

Beliau berkata kerja pembinaan di atas tanah berkeluasan 3.4 hektar itu dijangka mengambil masa setahun dan dijangka siap menjelang awal Mac tahun depan sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

“Antara kemudahan baharu yang akan disediakan sebuah padang bola sepak jenis rumput tiruan dilengkapi lampu berserta sejumlah 200 tempat duduk dan lima gelanggang futsal yang satu daripadanya bersaiz FIFA dan selebihnya bersaiz standard.

“Turut akan dibina 12 gelanggang badminton, lima gelanggang pickle ball, bilik persalinan, gimnasium, kedai, surau, tandas, bilik mesyuarat dan tempat letak kereta. Gelanggang badminton dan futsal itu juga dapat digunakan sebagai gelanggang serba guna untuk aktiviti sukan lain seperti bola jaring, bola tampar, hoki tertutup, dodge ball, tenis dan bola keranjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen,  Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sportizza Sdn Bhd Chiew Chun Yong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Chow yang juga Pengerusi Lembaga Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang berkata Sportizza Sdn Bhd akan bertanggungjawab mengurus serta menyelenggara fasiliti tersebut dalam tempoh 30 tahun, selain menyediakan program latihan dan mencungkil bakat baharu dalam sukan.

Sementara itu, Gooi berkata kompleks sukan tersebut mula dibuka kepada orang awam pada 30 Nov 1991 dengan kemudahan seperti dua padang bola sepak, masing-masing sebuah gelanggang bola jaring, bola tampar dan bola keranjang serta dua gelanggang tenis dan sepak takraw selain ruangan serba guna.

“Selepas 30 tahun tapak ini akan dinaik taraf semula bagi memberikan fasiliti yang lebih baik, sejajar dengan perkembangan aktiviti riadah dan sukan,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398196