KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan kempen #SimpanJe & Menang yang menawarkan peluang kepada pemegang unit untuk memenangi hadiah keseluruhan berjumlah sehingga RM500,000.
ASNB dalam satu kenyataan memaklumkan kempen yang berlangsung sehingga 31 Mac, bertujuan menggalakkan pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2, untuk mengutamakan pertumbuhan simpanan dan perancangan kewangan.
Kenyataan itu memaklumkan pemegang unit, hanya perlu mengekalkan serta menambah simpanan mereka dan peserta yang mempunyai baki simpanan minimum RM100,000, serta menambah sekurang-kurangnya RM5,000 dalam pelaburan tambahan layak untuk mendapat cabutan bertuah.
“500 pemenang bakal dipilih, kempen ini menawarkan hadiah menarik termasuk pakej umrah atau percutian Eropah, telefon pintar, dan baucar beli-belah. Inisiatif ini bukan sahaja memberi ganjaran kepada mereka yang menyimpan, tetapi juga mengukuhkan manfaat meningkatkan pelaburan ASB secara konsisten,” menurut kenyataan ASNB.
Kenyataan ASNB itu memaklumkan bagi mengekalkan kelayakan, peserta perlu memastikan tiada pengeluaran dilakukan sepanjang tempoh kempen, menekankan kepentingan disiplin dalam menyimpan untuk jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee dalam kenyataan sama berkata ASNB menyediakan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk mula melabur dengan serendah RM10, dengan fokus utama adalah untuk memupuk tabiat kewangan yang positif, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata kunci untuk membina kekayaan jangka panjang terletak pada pelaburan yang konsisten dan dengan dividen yang dikompaun.
“Sebagai contoh, dengan mengekalkan RM100,000 dalam ASB tanpa sebarang pengeluaran, pemegang unit berpotensi melihat simpanannya berkembang secara signifikan kepada kira-kira RM105,750 dalam tempoh satu tahun, RM132,252 dalam lima tahun, dan RM174,906 dalam 10 tahun dengan andaian pulangan tahunan konsisten sebanyak 5.77 peratus.
“Inilah keajaiban kuasa faedah kompaun, wang anda bekerja untuk anda, berkembang secara automatik dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata dengan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengekalkan simpanan mereka, ASNB membantu memastikan masa depan kewangan mereka lebih terjamin dengan penuh keyakinan.
-- BERNAMA