AM

Pegawai Penguat Kuasa Jas Pakai Seragam Baharu Mulai Bulan Ini

03/03/2025 11:10 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan berpakaian seragam baharu bermula bulan ini, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Beliau berkata pemakaian seragam itu telah mendapat kelulusan daripada Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (BIUPA) pada Mac 2023.

“Pemakaian pakaian seragam baharu ini selaras dengan hasrat memperkasakan penyampaian perkhidmatan sebagai agensi penguat kuasa JAS.

“Ini merupakan satu langkah perubahan yang akan meningkatkan pengenalan kredibiliti JAS sebagai agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata JAS terus komited dalam memperkasakan penguatkuasaan menerusi kerjasama strategik bersama beberapa agensi serta pengukuhan pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang melibatkan pelbagai peringkat sama ada di peringkat pihak berkepentingan atau masyarakat.

Bagi memastikan alam sekitar kekal terpelihara, beliau berkata antara rancangan jangka masa pendek dan panjang JAS adalah memuktamadkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 Fasa 2, menambah baik Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) serta meningkatkan kerjasama dari segi latihan penguatkuasaan antara JAS dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398581