Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 3 Mac (Bernama) -- Syarikat minyak dan gas negara Indonesia, Pertamina mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta berjanji untuk memperkukuh reformasi tadbir urus susulan siasatan rasuah yang membabitkan pegawainya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Aloysius Mantiri mengesahkan komitmen syarikat untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan memastikan pematuhan dalam semua operasinya.
“Sebagai sebahagian daripada respons kami, pusat krisis telah ditubuhkan bagi mengkaji semula proses perniagaan dan tadbir urus operasi,” katanya pada sidang media di Jakarta Pusat pada Isnin.
Permohonan maaf itu dibuat susulan siasatan berterusan oleh Pejabat Peguam Negara berhubung dakwaan rasuah membabitkan pengurusan minyak mentah dan produk penapisan Pertamina dari 2018 hingga 2023.
Sembilan eksekutif berpangkat tinggi daripada Pertamina dan syarikat bersekutu—yang terdiri daripada enam kakitangan Pertamina dan tiga individu daripada sektor swasta— dinamakan sebagai suspek dalam kes itu minggu lepas.
Pihak berkuasa mengesyaki skim itu menyebabkan kerugian negara kira-kira IDR193.7 trilion (kira-kira US$12.5 bilion) melalui manipulasi import minyak, pembelian yang tidak mematuhi peraturan serta kontrak penghantaran yang melambung.
Sementara itu, Simon menyatakan bahawa syarikat itu bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa semasa siasatan dijalankan, selain meningkatkan ujian kualiti bahan api di stesen minyak seluruh negara dan melancarkan saluran komunikasi langsung bagi rakyat melaporkan sebarang kebimbangan.
“Pertamina memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan tenaga akan kekal mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” tambahnya.
-- BERNAMA