DUNIA

Opec+ Mula Tingkatkan Pengeluaran Minyak Mulai April 

04/03/2025 11:59 AM

​​​​​​VIENNA, 4 Mac (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+ mengumumkan pada Isnin bahawa mereka akan meneruskan rancangan peningkatan pengeluaran minyak bermula 1 April, lapor Xinhua. 

Menurut kenyataan OPEC, lapan negara anggota OPEC+ iaitu Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman bersetuju untuk “melaksanakan secara beransur-ansur dan fleksibel pelarasan sukarela sebanyak 2.2 juta tong sehari (bpd)” mulai April.

Keputusan itu dibuat berdasarkan asas pasaran yang kukuh serta prospek pasaran yang positif. 

Persetujuan itu dicapai susulan mesyuarat secara maya yang diadakan pada hari yang sama.

Meskipun peningkatan pengeluaran telah dirancang, negara anggota memaklumkan bahawa mereka kekal fleksibel dengan keadaan pasaran dan bersedia untuk menghentikan atau membatalkan kenaikan pengeluaran jika perlu. 

Pengurangan pengeluaran sebanyak 2.2 juta bpd itu pertama kali diumumkan pada November 2023 bagi suku pertama (Q1) 2024. Langkah itu telah dilanjutkan beberapa kali, dengan lanjutan terkini menetapkannya sehingga Q1 2025.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398664