DUNIA

Indonesia Rampas Lebih 1.2 Tan Dadah, Tahan 37 Individu Pada Februari

04/03/2025 03:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Mac (Bernama) -- Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia merampas lebih 1.2 tan dadah dan menahan 37 individu pada Februari sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan membanteras pengedaran dadah.  

BNN dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa memaklumkan bahawa dadah yang dirampas termasuk 201.29 kilogram (kg) methamphetamine, 894.33 kg ganja, dan 115.21 kg pil ekstasi, selain 16 kereta, empat motosikal, serta sebuah bot tradisional.  

Satu daripada operasi terbesar bulan itu berlaku pada 20 Februari apabila pegawai BNN di Sumatera Utara memintas 433 kg ganja yang diseludup dari Aceh ke Medan, dengan empat suspek ditahan.  

Pada 1 Februari di Aceh, anggota BNN memintas bungkusan mengandungi 1 kg methamphetamine yang disorok dalam mesin pembersih hampagas yang dijadualkan dihantar ke Palu, Sulawesi Tengah.  

Operasi itu membawa kepada penahanan dua suspek manakala seorang lagi masih bebas, menurut BNN.  

Selain serbuan dadah, agensi itu turut membongkar operasi pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan jenayah dadah, merampas aset bernilai IDR 25 bilion (kira-kira US$1.6 juta) dalam empat siasatan yang dijalankan sejak Oktober 2024.  

“BNN kini sedang menyiasat 12 kes pengubahan wang haram melibatkan 13 suspek, dengan anggaran nilai keseluruhan aset yang dirampas mencecah IDR 100 bilion (kira-kira US$6.41 juta),” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA  

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398787