KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu berhati-hati sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan untuk membuka semula kedutaan di Damsyik, Syria kerana masih berlaku pelbagai sekatan antarabangsa di negara berkenaan termasuk sekatan ekonomi.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun kedutaan Malaysia di Syria ditutup sementara pada 2012 berikutan keadaan di sana, urusan melibatkan rakyat Malaysia masih dapat dikelolakan dengan baik.
“Ketika ini kita punya urusan rakyat Malaysia (melibatkan) 48 pelajar dan empat orang rakyat biasa di sana, mereka ini diuruskan dengan baik oleh konsul kehormat yang telah lama ada di Damsyik yang kita lantik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai bila Malaysia akan membuka semula kedutaan di Syria.
Mohamad menegaskan kepentingan penglibatan semua pihak secara menyeluruh untuk menjayakan proses damai dan mengembalikan keamanan serta kestabilan di Syria.
Beliau berkata Malaysia juga menyeru semua pihak agar mematuhi undang-undang antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB serta meningkatkan diplomasi untuk mencapai kestabilan berkekalan.
“Secara lazimnya Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan dan tidak akan mencampuri urusan negara lain. Malaysia dengan ini mengharapkan agar kerajaan interim (Syria) dapat melaksanakan mandatnya dengan adil dan inklusif demi kepentingan rakyat Syria,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia juga akan menyokong usaha damai untuk penyelesaian yang menyeluruh berdasarkan prinsip hak kemanusiaan, keadilan dan keamanan yang mampan.
Beliau berkata sebagai negara yang komited terhadap kesejahteraan global, Malaysia bersedia memainkan peranan yang konstruktif dalam menyokong pemulihan dan pembinaan semula Syria.
-- BERNAMA