JENAYAH & MAHKAMAH

Rompakan Kedai Emas: Polis Teliti Rakaman CcTV, Empat Saksi Beri Keterangan Setakat Ini

04/03/2025 05:53 PM

SEREMBAN, 4 Mac (Bernama) -- Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas sebuah pasar raya di Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya mengambil rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“CCTV kami dah tengok dan masih teliti, setakat ini sebanyak empat keterangan saksi termasuk pekerja kedai emas telah dirakam percakapan dan pihak kedai masih dalam proses mengira kerugian yang dialami.

“Suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu. Nombor kereta yang kita nampak dalam CCTV semalam kita kesan berada di Banting, Selangor dan didapati negatif (tiada kaitan dengan kes),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Baru Nilai, dekat sini dalam kejadian 8.36 malam tadi.

Abdul Malik dilaporkan berkata seorang daripada mereka menunggu dalam kereta manakala dua lagi masuk ke dalam premis, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut dan jumlah kerugian masih dalam penilaian.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kedai emas tersebut beroperasi seperti biasa.

Pengurus kedai emas dikenali sebagai Susan, 54, yang berada di kedai berkenaan ketika kejadian mengakui sangat terkejut dan tidak menyangka insiden tersebut berlaku hanya dalam tempoh kira-kira dua minit sahaja.

“Dua perompak memasuki premis dengan memakai topeng dan seorang acukan pistol ke arah saya dan pekerja. Mereka ugut buka kaunter. Saya sangat terkejut, ingatkan pistol mainan tetapi pistol betul, ketika itu saya berada di kaunter dalam sedang pegang barang kemas untuk dimasukkan ke dalam bekas.

“Khuatir juga jika perompak itu menyuruh saya keluarkan wang. Nasib baik mereka hanya ke kaunter luar dan terus melarikan diri selepas pekerja ikut arahan mengeluarkan emas di dalam kaunter, ia kejadian pertama terjadi ketika saya incharge, sebelum ini pernah jadi juga kejadian sama di kedai ini tapi orang lain incharge,” katanya menambah terdapat enam pekerja ketika kejadian.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398844