AM

Senator Gesa Garis Panduan Ketat Pastikan Ketelusan Transaksi Perbankan Perkapalan

04/03/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Seorang Ahli Dewan Negara hari ini mencadangkan agar Kementerian Kewangan memperkenalkan garis panduan yang lebih ketat bagi memastikan ketelusan dalam transaksi perbankan terutama melibatkan industri strategik seperti perkapalan.

Senator Datuk Sivaraj Chandran berkata cadangan itu susulan aduan yang diterima daripada sebuah syarikat perkapalan tempatan Maritime Network Sdn Bhd, yang telah beroperasi selama 22 tahun berhubung beberapa transaksi kewangan yang didakwa mencurigakan. 

"Kepercayaan terhadap sistem kewangan negara amat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kelangsungan industri.

“Oleh itu, saya menyeru agar pihak berkuasa memperketat pemantauan dan meningkatkan ketelusan dalam sistem perbankan bagi mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta pemain industri," katanya dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong hari ini di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, yang juga seorang pakar maritim, menasihati agensi pengangkutan laut supaya menyelidik dengan teliti sebelum terlibat dalam urus niaga perniagaan bagi memastikan kesahihan transaksi tersebut. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398928