AM

Pendaftaran MyDigital ID Dijangka Meningkat Suku Kedua Tahun Ini - Saifuddin Nasution

04/03/2025 09:44 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kadar pendaftaran MyDigital ID dijangka meningkat pada suku kedua tahun ini susulan strategi yang diambil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai agensi utama pelaksanaan prapendaftaran.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID.

"Untuk meningkatkan nombor (pendaftaran) ini strategi yang kita bincang tadi dalam mesyuarat ialah JPN akan buat prapendaftaran ke atas rakyat Malaysia bila mencapai umur 12 tahun," katanya dalam majlis iftar bersama media, di sini hari ini.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata strategi lain ialah pendaftaran semasa kehilangan MyKad yang  akan didaftarkan secara automatik.

"...atau ketika MyKad dia hilang, dia pergi ke JPN kita akan daftarkan dia. Kita harap menjelang suku kedua tahun ini akan menyaksikan peningkatan bagi pendaftaran ini supaya membolehkan kita melakukan transaksi menggunakan log masuk tunggal," katanya.

Beliau berkata strategi itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Identiti Digital Nasional yang dipengerusikannya petang tadi.

Saifuddin Nasution berkata walaupun ia bukan satu kewajipan dari segi undang-undang namun penggunaan MyDigital ID akan menjadi satu keperluan utama dalam urusan kerajaan dan seterusnya diperluas kepada sektor swasta.

Katanya hanya 1.8 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar MyDigital ID sehingga hari ini sejak ia dilancarkan tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Angka ini masih rendah, sedangkan manfaat MyDigital ID sangat besar kerana ia akan mengesahkan identiti setiap individu yang berurusan dengan jabatan kerajaan dan akhirnya akan digunakan juga dalam sektor swasta," katanya.

Pada Disember tahun lepas, media melaporkan Anwar mengaku kesal dengan kelewatan projek MyDigital ID serta rangkaian kedua 5G.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398967