JENAYAH & MAHKAMAH

TDM Tumpas Cubaan Seludup 400kg Karkas Babi Hutan Di Sempadan Thailand

05/03/2025 11:54 AM

KOTA BHARU, 5 Mac (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup 400 kilogram (kg) karkas babi hutan di tebing Sungai Golok sebelah Malaysia semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan pada 6.10 pagi itu berjaya menahan seorang lelaki dan merampas sebuah bot, manakala empat lelaki lagi berjaya melarikan diri ke tebing Sungai Golok di sebelah Thailand dengan menggunakan dua bot.

“Serbuan dilakukan selepas pasukan beroperasi mengesan lima orang awam sedang melakukan kerja-kerja pemindahan barang dari tebing sungai itu menggunakan tiga bot. 

“Menerusi pemeriksaan yang dilakukan, anggota operasi mendapati lelaki itu adalah warga tempatan dan memberitahu dia dan rakan-rakannya sedang memindahkan karkas babi hutan untuk dijual ke Thailand,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan turut dirampas adalah sebuah bot fiber berserta enjin, sebuah van, pasport Malaysia, pas sempadan Malaysia dan beberapa barangan peribadi milik lelaki berkenaan. 

“Jumlah keseluruhan barangan dirampas adalah RM42,735. Suspek dan barangan yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

“Pasukan operasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399060