DUNIA

Indonesia Hadapi Risiko Pemberhentian Pekerja Akibat Pemindahan Syarikat Tekstil Dari Vietnam

05/03/2025 11:58 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Mac (Bernama) -- Industri tekstil Indonesia berada di ambang krisis besar apabila lebih sedozen pengeluar besar merancang untuk berpindah dari Vietnam, mencetuskan kebimbangan penutupan kilang dan pemberhentian yang meluas, pemimpin industri memberi amaran pada Rabu.

"Jika penempatan semula ini berlaku secara besar-besaran, ia boleh memusnahkan kilang tempatan... Kehilangan pekerjaan secara besar-besaran di seluruh industri tidak dapat dielakkan," kata Pengerusi Persatuan Pengimport Kebangsaan (Ginsi) Subandi seperti yang dipetik oleh Media Indonesia.

Amaran itu dibuat di tengah-tengah kegawatan kewangan di PT Sri Rejeki Isman (Sritex), yang pernah menjadi syarikat tekstil terbesar di Indonesia, yang gagal membayar hutangnya pada 2021.

Syarikat itu, yang beribu pejabat di Sukoharjo, Jawa Tengah, yang sebelum ini menggaji puluhan ribu, terpaksa mengurangkan pengeluaran dan menutup beberapa kemudahan.

Kumpulan industri bimbang kehadiran pesaing asing boleh menjejaskan lagi pengeluar tempatan yang sudah pun bergelut.

“Kami tidak tahu berapa ramai pekerja yang akan dibawa oleh syarikat ini dari negara asal mereka. Jika terlalu ramai pekerja asing diambil bekerja, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan akan berkurangan, dan pembuangan pekerja besar-besaran tidak dapat dielakkan,” tambah Subandi.

Ginsi menggesa kerajaan campur tangan dengan menekankan keperluan untuk memperkukuh industri domestik dan bukannya menjadikan Indonesia sebagai hab pemindahan syarikat asing.

“Jika kilang kita kekurangan modal untuk dimodenkan, kerajaan mesti campur tangan dan menyokong mereka,” kata Subandi sambil memberi amaran bahawa tanpa campur tangan, sektor tekstil Indonesia mungkin mengalami kemerosotan berpanjangan.

Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional (DEN) Luhut Binsar Pandjaitan mengesahkan minggu lalu bahawa 10 hingga 15 syarikat tekstil utama akan memindahkan operasi mereka ke Indonesia dengan rancangan untuk membuka kemudahan di Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399409