AM

PM Anwar Akan Turun Ke Negeri-negeri Mulai Minggu Depan - PMO

05/03/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri mulai minggu hadapan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata pada masa sama, Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama negeri serta agensi.

“Perdana Menteri telah menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi beliau dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi.

“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua setiausaha politik ke negeri-negeri, bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

Beliau berkata Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa sehingga 31 Dis tahun lepas, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar dan beliau yakin kejayaan itu akan diperluas ke negeri-negeri lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399070