PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dalam kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan ke 15 Mei, selepas isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu tidak sihat.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan penangguhan itu selepas peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, 73, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak sihat dan telah pergi ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.
“Memandangkan rayuan ini berhubung kes jenayah, beliau (Rosmah) perlu hadir ke mahkamah. Oleh itu, mahkamah membenarkan penangguhan,” kata Hakim Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Terdahulu, Jagjit berkata Rosmah hadir ke mahkamah pagi ini, namun beliau bergegas ke hospital kerana pening selain mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes.
“Oleh itu, kami mohon agar prosiding hari ini ditangguhkan,” kata peguam itu yang mengendalikan kes bersama Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai.
Rosmah yang memakai jubah berwarna hijau sebelum itu dilihat masuk ke dalam mahkamah, namun beredar tidak lama kemudian sebelum prosiding bermula.
Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan Rosmah berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadapnya, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Disoal Hakim Ahmad Zaidi apakah kesan sekiranya rayuan itu dibenarkan oleh mahkamah, Akberdin berkata kes itu akan dibicarakan semula di hadapan hakim lain.
Pada 1 Sept 2022, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
-- BERNAMA