AM

Sesi Libat Urus Atasi Isu Kekurangan Pelatih Kaum India Di Institut Latihan KKM

05/03/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan sesi libat urus bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dalam masa terdekat bagi mengatasi isu kekurangan pelatih kaum India di Institut Latihan KKM.

KKM memaklumkan pada masa ini, sebanyak 10,686 pelatih sedang mengikuti 13 program Latihan Separa Perubatan di Institut Latihan KKM namun daripada jumlah itu hanya satu peratus atau 92 orang merupakan pelatih berketurunan India.

“Selain itu, KKM turut mengadakan pameran kerjaya semasa Program MADANI Rakyat, program jerayawara menerusi MADANI Afiat dan Hari Bertemu Pelanggan serta penglibatan dalam ceramah dan motivasi kerjaya di sekolah bagi mempromosikan Latihan Separa Perubatan, terutamanya kepada kaum India untuk menarik minat mereka menyertai kerjaya dalam sektor kesihatan.

“Pelajar di sekolah juga akan diberi penerangan berkaitan penajaan biasiswa dan kemudahan lain yang layak diterima sepanjang pengajian di Institut Latihan KKM,” menurut kementerian berkenaan menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini. 

Ia sebagai penjelasan kepada soalan dibangkitkan Senator Datuk Seri S. Vell Paari tentang peratusan pelatih kaum India yang sedang mengikuti kursus Latihan Separa Perubatan dan langkah diambil untuk meningkatkan peratusan itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399161