BEIJING, 5 Mac (Bernama-CMG) -- China menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar lima peratus bagi tahun 2025 selepas mencapai pelbagai matlamat utama dalam pembangunan sosioekonomi pada 2024, kata Perdana Menteri Li Qiang pada Rabu.
Menurut Li, KDNK meningkat lima peratus bagi tahun ke tahun pada 2024 dengan mencatat RMB134.9 trilion (RM82.6 trilion), sekali gus mengekalkan sumbangan sekitar 30 peratus kepada ekonomi global.
Beliau menyatakannya dalam laporan kerja kerajaan pada sidang ketiga Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14 di sini.
Pada tempoh yang sama, perdagangan luar China mencatatkan rekod baharu manakala rizab mata wang asing melebihi US$3.2 trilion (RM14.3 trilion).
Semua sekatan terhadap pelabur asing yang mahu mengakses sektor pembuatan sudah dibatalkan, manakala perdagangan dan pelaburan dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) terus dinaik taraf.
China juga akan melaksanakan dasar fiskal lebih proaktif dan dasar kewangan yang longgar untuk memastikan pasaran hartanah dan pasaran saham berkembang dengan sihat, selain meningkatkan sokongan kepada inovasi teknologi, pembangunan hijau, penggalakan penggunaan dan perusahaan mikro kecil.
Laporan kerja kerajaan untuk perancangan 2025 menekankan peningkatan kuasa produktif kualiti baharu yang sesuai dengan ekosistem tempatan, mekanisme pertambahan peruntukan kewangan untuk industri masa depan, perkilangan biologi, teknologi kuantum, kecerdasan berbadan (Embodied Intelligence) dan teknologi 6G.
Turut hadir, barisan pemimpin Parti dan negara yang diketuai Presiden Xi Jinping dan 2,880 orang wakil NPC.
-- BERNAMA-CMG