Daripada Zairina Zainudin
BARCELONA (Sepanyol), 6 Mac (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh transformasi digitalnya melalui pertukaran 19 memorandum persefahaman (MoU) antara pemain tempatan dan peneraju teknologi global di luar acara Mobile World Congress (MWC) 2025.
Menyaksikan majlis pertukaran MoU tersebut, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MoU itu mencerminkan komitmen pemain industri dalam memacu inovasi terutamanya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), 5G dan telekomunikasi.
“Mereka menunjukkan komitmen untuk membawa perubahan digital ke Malaysia. Saya berharap MoU ini akan memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya kepada wartawan Malaysia.
Teo turut menyatakan keyakinannya bahawa MWC akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain antarabangsa untuk mengiktiraf potensi yang dimiliki Malaysia.
Antara MoU itu ialah kerjasama antara CelcomDigi dan Ericsson yang bertujuan memacu transformasi untuk industri minyak dan gas yang dikuasakan oleh teknologi 5G. Syarikat telekomunikasi itu juga bekerjasama dengan Huawei untuk rangkaian penumpuan mudah alih tetap yang dipacu oleh AI.
Digital Nasional Bhd (DNB) turut bekerjasama dengan Ericsson untuk mempercepat penggunaan teknologi 5G bagi memacu inisiatif transformasi digital Malaysia dan bekerjasama dengan META untuk Pusat Pengalaman DNB bagi meningkatkan kualiti pengalaman pusat menara jarak jauh (RTC).
Sementara itu, YTL Communications dan Equinix berganding bahu untuk kerjasama dalam pemerkasaan awan AI global dan infrastruktur AI yang mampan manakala Maxis dan Huawei menjalin kerjasama untuk memacu transformasi digital pintar.
MWC, acara dan pameran teknologi telekomunikasi terbesar dunia, menghimpunkan peneraju industri, inovator dan penggubal dasar bagi mengetengahkan kemajuan terkini dalam teknologi mudah alih, ketersambungan dan transformasi digital.
Penganjurannya yang memasuki edisi ke-19 tahun ini, menyaksikan Pavilion Malaysia memaparkan pencapaian serta kemajuan teknologi negara dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.
-- BERNAMA