EKONOMI

RUU CCUS, Peraturan Berkaitan Karbon Dioksida Di Luar Pesisir Perlu Kuat Kuasa Sebelum 31 Mac

05/03/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Ekonomi menekankan keperluan untuk membangunkan serta menguatkuasakan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) selain peraturan berkaitan pengimportan dan penyimpanan karbon dioksida secara kekal di kawasan luar pesisir selewat-lewatnya 31 Mac 2025. 

Timbalan Menterinya Datuk Hanifah Hajar Taib berkata hal ini bagi memastikan Malaysia dapat merebut peluang pelaburan dalam jangka masa panjang.

“Penggubalan RUU CCUS itu dilaksanakan berlandaskan pendekatan keseluruhan negara. Kementerian Ekonomi mewujudkan struktur tadbir urus inisiatif CCUS kebangsaan bagi memastikan aktiviti berkaitan CCUS yang akan dilaksanakan seiring dengan keputusan Jemaah Menteri. 

“Struktur tadbir urus ini terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan lima Kumpulan Fokus. Struktur tadbir urus tersebut diterajui oleh Kementerian Ekonomi dengan keanggotaan daripada wakil pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan, kerajaan negeri, ahli akademik serta pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU CCUS di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Hanifah Hajar berkata kementerian juga melantik Global CCS Institute sebagai perunding untuk menjalankan kajian bertajuk Malaysia’s CCUS Legal & Regulatory Framework Assessment and Comprehensive Study bagi memastikan penggubalan rangka kawal selia CCUS adalah selari dengan perundangan dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Katanya, laporan awalan daripada pihak perunding membandingkan perundangan mengenai CCUS daripada negara-negara yang terlebih dahulu melaksanakan CCUS dan telah pun mempunyai kerangka perundangan domestik seperti Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah. 

“Secara amnya, RUU CCUS ini digubal berdasarkan amalan terbaik CCUS di peringkat antarabangsa dan mengambil kira keperluan pengurusan risiko yang cekap,” katanya. 

Menurut Hanifah Hajar, dalam proses menggubal RUU CCUS ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga bersetuju kuasa penggubalan undang-undang berkaitan suatu triti, perjanjian atau konvensyen yang hendak dikuatkuasakan di seluruh Persekutuan, merupakan kuasa Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 76(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

RUU CCUS terbahagi kepada 10 Bahagian dan mengandungi 53 Fasal yang memperuntukkan kawal selia aktiviti CCUS bagi setiap rantaian nilai CCUS daripada pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan dan sehingga kepada aktiviti penyimpanan kekal karbon dioksida.

RUU tersebut merupakan komponen penting dalam memastikan Malaysia mendapat manfaat pelaburan dan juga limpahan ekonomi daripada aktiviti CCUS di sepanjang rantaian nilai, katanya. 

“Industri CCUS juga dijangka dapat mewujudkan sehingga 200,000 peluang pekerjaan baharu setahun ketika aktiviti puncak. Ini boleh merangsang pembangunan bakat dan kemahiran berkaitan kemahiran hijau dalam usaha Malaysia menarik pelaburan berskala tinggi terutama dalam teknologi CCUS,” katanya. 

Memetik kajian oleh Global CCS Institute, Hanifah Hajar berkata Malaysia dianggarkan mempunyai kapasiti penyimpanan karbon dioksida sebanyak 13.3 gigatan melibatkan medan minyak dan gas yang tidak digunakan lagi.

Manakala kajian oleh Universiti Teknologi Malaysia menganggarkan Malaysia mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak 140 gigatan untuk tapak penyimpanan berbentuk ruang takungan air masin bawah dasar laut.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399345