AM

UTeM Bantu Wanita Di Kampung Tingkat Ilmu Keusahawanan Bidang Perniagaan F&B

06/03/2025 01:41 PM

MELAKA, 6 Mac (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melaksanakan projek khas kursus keusahawanan bagi membantu golongan wanita di kampung untuk meningkatkan taraf ekonomi dengan menjadi usahawan berjaya dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Ketua Projek Prof Madya Dr Juhaini Jabar berkata kursus keusahawanan itu melibatkan 40 peserta wanita dari Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kampung Pulau, Tanjung Bidara.

“Menerusi program itu, para peserta didedahkan dengan pengetahuan komprehensif merangkumi semua aspek perniagaan F&B dengan latihan yang diberikan bermula dari peringkat asas hingga ke tahap mereka boleh menjalankan perniagaan secara berdikari.

“Antaranya strategi keunikan jualan, pengurusan operasi, perancangan kewangan dan penetapan harga, pengurusan risiko serta kepentingan hak harta intelek kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 Mengulas lanjut, Juhaini berkata kursus itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu pembelajaran teori, kursus masakan Barat bersijil dan lawatan industri.

Beliau berkata kursus keusahawanan itu antara program di bawah kelolaan dan bajet dari Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE-UTeM serta komitmen sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahwanan (FPTT).

"Terdapat beberapa kepentingan bidang keusahawanan dalam industri F&B antaranya mencipta serta membuka peluang pekerjaan, di samping membuka peluang iringan kepada industri sokongan. 

“Ia membantu meningkatkan pendapatan, merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyokong pertumbuhan usahawan mikro industri F&B dan memperkasakan golongan usahawan wanita yang ingin memulakan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata universiti itu terus komited berkongsi kepakaran yang dimiliki kepada golongan komuniti.

Beliau berkata menerusi projek itu, ia dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan wanita kampung, sekali gus membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi.

“Pada masa sama, projek ini turut menjadi cerminan kesungguhan UTeM memberikan pengisian berimpak kepada projek Kampung Angkat Madani KPT di kampung itu yang juga Kampung Angkat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399498