AM

Kerajaan Komited Tingkat Kualiti Kurikulum Prasekolah 2026

06/03/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan komited dalam memastikan kurikulum prasekolah yang dihasilkan berkualiti, relevan dan setanding dengan kurikulum negara lain. 

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kurikulum Prasekolah 2026 (KP 2026) telah dibangunkan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pakar kanak-kanak, pensyarah, guru, pengusaha tadika dan ibu bapa. 

“Bagi memastikan kebolehlaksanaannya, kurikulum ini telah dirintis di prasekolah agensi kerajaan dan swasta iaitu melibatkan 34 prasekolah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), lima Tabika KEMAS, tiga Tabika Perpaduan dan lapan tadika swasta. 

“Pemantapan KP 2026 telah dibuat berdasarkan dapatan uji rintis dengan mengambil kira pandangan pelaksana di lapangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu sejauh mana rancangan latihan dan pendedahan fokus kerangka kurikulum baharu kepada guru prasekolah di KPM, KEMAS, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) agar impian penerapan capaian kompetensi pelajar betul-betul sempurna.

Beliau berkata bagi memastikan pelaksanaan KP 2026 dengan berkesan, penataran KP 2026 akan dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka pada Jun hingga Nov 2025 kepada guru prasekolah agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, tambahnya dokumen KP 2026 dan bahan penataran akan dimuat naik di Portal Rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) untuk rujukan semua pihak berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399606