EKONOMI

Kerjasama Malaysia-Arm Memacu Pertumbuhan Semikonduktor

06/03/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kerjasama Malaysia dengan Arm Holdings Plc akan membantu Malaysia ke arah ekonomi berimpak tinggi, menyemarakkan ekosistem semikonduktor 'front-end' sambil memupuk pertumbuhan firma semikonduktor tempatan dalam jangka panjang.

Menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB), ia menandakan kerjasama pertama di dunia antara sebuah negara berdaulat dengan gergasi teknologi global dalam membangunkan harta intelek (IP) proprietari untuk reka bentuk litar bersepadu (IC).

Ia melibatkan pelaburan US$250 juta (RM1.11 bilion) oleh kerajaan ke atas pelbagai harta intelek (IP) dan lesen terkini Arm sepanjang tempoh 10 tahun.

Selain membantu mengurangkan kos penyelidikan dan pembangunan serta risiko ralat reka bentuk, RHB IB berkata ia juga akan membolehkan firma tempatan menumpukan perhatian kepada pembezaan produk dan pembuatan prototaip daripada mencipta semula teknologi asas.

"Pemain-pemain tempatan akan diberi keutamaan dalam pemindahan teknologi dan bantuan daripada firma asing yang maju melalui pelbagai struktur kerjasama," katanya sambil menambah ia mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor teknologi.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan perjanjian itu mempercepatkan pembentukan firma semikonduktor 'front-end' seawal 2030, dengan produk pasaran akhir tersedia yang boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

 Perjanjian itu juga menyokong sasaran eksport semikonduktor kerajaan sebanyak RM1.2 trilion menjelang 2030.

Inisiatif berkenaan melibatkan penciptaan sehingga 10 syarikat cip dengan jumlah hasil tahunan sebanyak US$20 bilion, membolehkan negara menghasilkan cipnya sendiri dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

"Perjanjian ini dijangka melengkapkan kekuatan sedia ada Malaysia dalam pemasangan dan ujian cip," katanya.

Malaysia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, dengan menguasai kira-kira 13 peratus pasaran dalam operasi pembungkusan, pemasangan, dan ujian semikonduktor.

 MIDF Amanah berkata perang perdagangan yang berterusan dan permintaan pasaran akhir yang lemah dijangka menyebabkan prospek jangka pendek yang suram untuk industri itu.

"Sehubungan itu, kami melihat langkah ini sebagai tepat pada masanya sejajar dengan perang perdagangan yang berterusan, memandangkan ia boleh membantu mengurangkan pada tahap tertentu, kesan rancangan AS untuk melaksanakan tarif yang meluas yang boleh memberi kesan kepada negara-negara yang bergantung kepada perdagangan," katanya sambil mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor teknologi.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor berkenaan memandangkan asas yang bercampur-campur dalam jangka pendek hingga pertengahan, dengan menyatakan saham-saham teknologi sedang diniagakan pada penilaian yang agak tinggi berbanding dengan saham-saham setara lain.

Secara keseluruhan, bank pelaburan itu percaya kerjasama Malaysia dengan Arm boleh menjana kesan limpahan yang positif untuk sektor teknologi secara lebih meluas, terutamanya jika ia membawa kepada penciptaan rantaian nilai semikonduktor baharu.

"Kami menyifatkan ini sebagai langkah jangka panjang yang berterusan selama beberapa tahun, dengan sektor ini terus beroperasi dalam persekitaran yang sangat tinggi," kata HLIB.

Dalam nota penyelidikan berasingan, Kenanga Investment Bank Bhd percaya syarikat-syarikat semikonduktor fabless (atau pereka IC) Malaysia, termasuk Oppstar Bhd, KeyASIC Bhd dan SkyeChip Sdn Bhd, akan mendapat manfaat daripada akses istimewa kepada IP Arm dan subsistem pengiraan.

Syarikat-syarikat itu akan dapat membangunkan cip berkuasa kecerdasan buatan (AI) sambil memanfaatkan sokongan kerajaan untuk pembangunan bakat reka bentuk IC.

Sementara itu, CIMB Securities percaya syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai akses pasaran yang kukuh berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berjaya menghasilkan cip mereka sendiri, seterusnya mempercepatkan kemajuan negara dalam rantaian nilai semikonduktor.

"Bagaimanapun, kejayaan dalam peralihan ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, kesediaan industri, pengekalan bakat, dan keupayaan untuk bersaing di pasaran global," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399609