KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia dinasihatkan supaya memberikan lebih tumpuan kepada pemulihan kecederaan pergelangan tangan berulang yang dialaminya menjelang Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 di Birmingham, bermula Selasa ini.
Bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim berkata Aaron yang bergelut dengan kecederaan itu selepas menjalani latihan intensif baru-baru ini, memerlukan tempoh secukupnya jika berhasrat melakar keputusan positif pada kejohanan berprestij itu.
“Kalau ikutkan, bila alami kecederaan dan pemain tahu akan sertai kejohanan secara berturut-turut, sesi pemulihan itu yang penting.
“Latihan secara berat tidak berapa perlu dan beliau kena pastikan kecederaan sama itu tidak makin teruk. Itu sahaja mereka kena lakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Aaron dan gandingannya Soh Wooi Yik menerima tamparan hebat dalam persiapan ke Seluruh England apabila tersingkir seawal pusingan pertama Masters Orleans di tangan wakil China Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun 18-21, 8-21.
Roslin juga percaya kecederaan dialami naib juara Seluruh England 2019 dan 2024 itu menuntut penilaian terbaik daripada jurulatih serta pemain sendiri bagaimana untuk mengharungi cabaran di Seluruh England.
“Kita tahu dia (Aaron) pemain sandaran. Jadi kalau dia tak boleh lakukan tugasnya, kemungkinan akan terjejas corak permainan mereka nanti. Kita tak tahu tahap kecederaannya, mungkin dia rasai kesakitan itu. Jadi, dia tak mahu ambil risiko di Masters Orleans semalam.
“Tapi mungkin juga jurulatih ada idea lain bagaimana cara untuk mereka bermain selepas ini memandangkan keadaan Aaron itu,” katanya.
Selain Aaron-Wooi Yik, turut disenaraikan ke Seluruh England ialah gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Tiga beregu lelaki profesional turut bersaing pada kejohanan berprestij itu membabitkan beregu utama negara Sze-Fei-Nur Izzuddin, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
-- BERNAMA