KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) perlu mengambil peluang untuk memperkasa pembangunan industri semikonduktor dalam Pembungkusan Lanjutan (AP), susulan kerjasama yang terjalin di antara kerajaan dan Arm Holdings Plc.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan itu diambil bagi memperkukuh aplikasi industri dan ekosistem pembuatan nilai tinggi (HVM) serta membangunkan ekosistem teknologi dan rantaian bekalan bernilai tinggi untuk pelaburan yang berimpak tinggi.
Semalam, Anwar melancarkan kerjasama strategik antara kerajaan dan Arm bagi mewujudkan ekosistem baharu dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor melalui pelaburan Malaysia sebanyak US$250 juta (US$1= RM4.44) dalam dekad akan datang.
Beliau berkata, Anwar menyifatkan kerjasama Malaysia dengan pereka seni bina cip terbesar di dunia itu bakal mengangkat darjat serta menambah nilai industri semikonduktor dan AI negara.
Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri melihat peningkatan pelaburan dalam industri bernilai tinggi memerlukan tenaga kerja mahir berkualiti yang mencukupi.
“Pembangunan bakat yang efektif penting bagi mengoptimumkan manfaat daripada pelaburan bernilai dan berteknologi tinggi,” katanya.
Susulan itu, katanya, Anwar mahu NCIA dan pihak swasta memainkan peranan sebagai pemangkin bagi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) untuk menggalakkan pertumbuhan industri semikonduktor berteknologi tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Malaysia.
Menurutnya, Perdana Menteri juga mahu sebuah ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh sebagai pelengkap pelaburan di wilayah utara merangkumi program pembangunan kemahiran di peringkat tertiari, program intervensi strategik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan program peningkatan kemahiran pekerja.
Pada masa sama, Tunku Nashru turut memaklumkan bagi kawasan NCER, sebanyak RM64.7 bilion pelaburan dan lebih 14,000 peluang pekerjaan berjaya direalisasikan pada 2024.
“Ini menunjukkan kepentingan membuat keputusan pantas dalam mana-mana cadangan pelaburan yang dibawa oleh pelabur dalam dan luar negara,” katanya.
-- BERNAMA