AM

Isu Status Bumiputera: Penduduk Sabah, Labuan Berdepan Cabaran Pemilikan Tanah Adat

07/03/2025 12:24 PM

LABUAN, 7 Mac (Bernama) -- Penduduk tempatan Sabah dan Labuan yang dikategorikan sebagai ‘Melayu’ dalam  sijil kelahiran tapi tidak diiktiraf sebagai ‘Bumiputera’ berdepan kesulitan dalam urusan pemindahan nama khususnya melibatkan Tanah Adat.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata perkara ini telah menimbulkan kesulitan kepada individu yang terlibat terutama dalam aspek pewarisan dan pemilikan tanah.

“Saya telah menerima banyak laporan mengenai individu diiktiraf sebagai Bumiputera oleh Mahkamah Anak Negeri namun permohonan mereka untuk memindahkan Tanah Adat ditolak oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

“Satu kes berlaku membabitkan seorang wanita yang lahir di Labuan sebelum menjadi Wilayah Persekutuan.

“Walaupun Mahkamah Anak Negeri Labuan mengiktiraf status Bumiputera itu, permohonannya kepada Pejabat Daerah Kuala Penyu tetap ditolak atas alasan dia dikategorikan Melayu (mengikut Wilayah Persekutuan Labuan) dalam sijil kelahirannya dan tidak memiliki Sijil Taraf Bumiputera. Oleh itu, dia tidak layak diiktiraf sebagai Bumiputera Sabah,”  katanya.

Beliau percaya perkara berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan perlu diberi perhatian segera.

“Kami berharap kerajaan dapat menyelaraskan dasar pengiktirafan Bumiputera bagi mengelakkan lebih banyak masalah kepada masyarakat Melayu di Sabah dan Labuan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399907