AM

Pengembalian Autonomi Parlimen, Penubuhan Majlis Media Lakar Sejarah Persidangan Dewan Rakyat

07/03/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang melabuhkan tirainya semalam, mencatatkan sejarah penting dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia apabila beberapa rang undang-undang (RUU) utama diluluskan dalam tempoh 18 hari persidangan.

Pemisahan Parlimen sebagai entiti berasingan daripada perkhidmatan awam menjadi antara keputusan besar yang dicapai pada persidangan kali ini selepas Perkhidmatan Parlimen kini memiliki “taring” semula dengan autonomi institusi, pentadbiran dan kewangan sendiri setelah 33 tahun.

Hal ini berikutan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 diluluskan dengan 148 undi manakala RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju di Dewan Rakyat.

Kelulusan kedua-dua RUU itu menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI dengan membawa pentadbiran negara kembali ke landasan melalui penggubalan RUU berkenaan bagi membolehkan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika menyampaikan ucapan penutup semalam berkata penggubalan RUU itu dapat memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara Badan Eksekutif dengan Badan Legislatif yang memberikan autonomi kepada Parlimen untuk menentukan hala tuju legislatif secara tersendiri.

Persidangan kali ini juga diwarnai dengan detik bersejarah apabila RUU Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, selepas dibahas 18 ahli Dewan Rakyat.

MMM, disifatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebagai simbol pencapaian penting dalam industri media Malaysia selepas lebih 50 tahun penubuhannya dibincangkan dan satu kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia memandangkan cadangan RUU itu mula diutarakan pada 1973.

Pada persidangan yang bermula pada 3 Feb lepas, Dewan Rakyat turut meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 serta beberapa RUU.

Antara RUU lain yang turut diluluskan ialah RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan berjumlah RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan dan RUU Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Sementara itu, sebanyak sembilan akta diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 14 Okt hingga 12 Dis tahun lepas telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, antaranya Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) dan Akta Kewangan 2024.

Selain itu, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.

Tiga lagi akta yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda ialah Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024.

Persidangan Dewan Rakyat turut diisi dengan sesi penerangan menteri bagi memperjelas isu semasa, antaranya oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membuat penerangan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penerangan berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan Petronas dan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) pula menyatakan kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400012