KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perenang para negara Abd Halim Mohammad tidak mahu menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan menurunkan intensiti latihan terutama menjelang Kejohanan Siri Dunia Renang Para Fuji-Shizuoka 2025 di Jepun, dari 10 hingga 12 April ini.
Pemenang lima pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Para ASEAN 2023 itu berkata sama seperti kebanyakan atlet lain, jadual latihannya diatur semula bagi menyesuaikan diri dengan waktu sahur dan berbuka di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.
“Biasanya, latihan pagi bermula pada 8.30 hingga 11 pagi, manakala sesi petang dari 4 hingga 6 petang, tetapi dalam bulan Ramadan, kami mula lebih awal selepas sahur iaitu dari 6.30 hingga 9 pagi dan sesi petang pula dialihkan ke pukul 9 hingga 11 malam setiap hari.
“Latihan memang sangat intensif kerana pada 5 April nanti, kami sepasukan akan berlepas ke Jepun. Jadi, boleh dikatakan tahun ini kami tidak sempat meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti biasa,” katanya kepada Bernama.
Anak kelahiran Sabah itu bakal beraksi dalam tiga acara iaitu 100 meter (m) kuak dada, 100m gaya bebas dan 50m gaya bebas, dengan fokus utama untuk memperbaiki catatan masa peribadinya sebagai persiapan menghadapi satu lagi kejohanan besar yang dijadualkan pada September ini.
“Setakat ini, saya belum pasti siapa lagi atlet yang akan bersama saya ke Jepun nanti. Yang pasti, saya perlu terus fokus dalam latihan dan memastikan persiapan berada di tahap terbaik untuk menghadapi kejohanan ini. Lagipun nanti, ada masa untuk cuba berlatih di Jepun dulu ambil mood pertandingan,” katanya.
Abd Halim bukanlah nama asing dalam arena renang setelah menerima ganjaran tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan jumlah RM62,250 hasil kemenangan pada Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja.
Ketika itu, Abd Halim cemerlang dengan meraih emas dalam acara 200m rampaian individu SM8, 50m gaya bebas S8, 100m kuak dada SB8, 100m gaya bebas S8 dan 50m kuak dada SB, selain gangsa dalam acara 4x100m rampaian 34 pts.
Beliau turut memecahkan dua rekod temasya dalam acara 50m gaya bebas dan 50m kuak dada.
-- BERNAMA