SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Penyanyi popular era 90-an, Shaharim Sallehudin atau lebih dikenali sebagai Sheqal meluahkan hasrat untuk pulang menetap di kampung halamannya di Kampung Tanjung Putus, Raub, Pahang selepas lebih 40 tahun merantau.
Artis berusia 60 tahun yang terkenal dengan lagu Cinta Nusantara itu berkata walaupun kini berkerusi roda akibat empat kali diserang angin ahmar sejak 2020 dan terakhir tiga tahun lepas, semangatnya untuk meneruskan karya seni dengan menulis buku di kampung halaman sangat kuat.
“Saya teringin pulang, kampung ialah tempat bersejarah dan saya mahu berkarya sebagai orang seni di kampung pula, saya dah lama merantau sejak berumur 19 tahun, sebelum ini di Kuala Lumpur, dari 2016 tinggal di Negeri Sembilan.
“Kalau nak menetap di kampung sekarang saya tak cukup duit lagi … saya di sini pun tiada kawan atau saudara, sebelum ini ada kawan, tetapi dia dah meninggal dunia, di kampung masih ada emak yang tinggal dengan adik lelaki, adik-beradik lain ada tinggal di negeri lain,” katanya kepada pemberita.
Sheqal berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dong Fadzli Mohamad Kamal di rumahnya di Taman Tuanku Ja’afar di sini hari ini.
Dalam kunjungan itu, Fadzli mewakili kerajaan Pahang menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Sheqal sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada anak perantau dari negeri berkenaan.
Mengenai bukunya, Sheqal berkata setakat ini beliau sudah menghasilkan tujuh buku dan satu daripadanya telah diterbitkan dengan idea penghasilan buku terbabit adalah menerusi pengalaman menulis di tabloid dan moderator sebelum ini.
“Saya telah menulis sejak 1990, cukup lama, kebanyakan buku ditulis ialah buku agama dan ada berbentuk syair, sebelum meninggal dunia, saya ingin menulis syair dalam bentuk buku … sebelum ini orang kenal saya sebagai penyanyi, kali ini saya mahu dikenali sebagai penulis pula,” katanya.
Sheqal yang turut menghidap sakit buah pinggang tahap empat itu juga berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan serta rakan-rakan artis yang sentiasa membantu selain sokongan berterusan daripada isterinya Normah Mohd Yusoff dan dua anak.
“Terima kasih juga kepada kerajaan Pahang atas bantuan, ia bukan sekadar duit, tetapi memberikan semangat kepada saya, saya sangat terharu kerana masih ingatkan saya,” katanya dan menambah kini menerima rawatan susulan setiap dua bulan sekali selain turut menjaga pemakanannya.
Sementara itu, Fadzli berharap supaya sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban Sheqal termasuk untuk menjalani rawatan selanjutnya selain berdoa supaya Sheqal diberikan kesembuhan.
Beliau berkata pihaknya menerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang sentiasa menjejaki perantau Pahang terutama yang tidak berkemampuan untuk diberi sokongan dan bantuan mengikut keperluan dan syarat ditetapkan.
“Kepada anak rantau yang memerlukan pertolongan, teruslah berhubung dengan sekretariat kita di laman sosial Facebook. Kita sentiasa komited membantu mereka sekali gus memastikan semua nasib rakyat Pahang yang berada di luar negeri terbela,” katanya.
-- BERNAMA