JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rampas Mercun, Bunga Api Dan Rokok Bernilai Lebih RM45 Juta

08/03/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan penyimpanan serta penjualan mercun dan bunga api tanpa permit serta rokok tidak berkastam dalam dua serbuan berasingan di Selangor melibatkan rampasan bernilai lebih RM45 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata serbuan pertama menerusi Op Taring Charlie di Kapar, Klang semalam menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit bernilai lebih RM32 juta.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai bertanggungjawab ke atas premis tersebut ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Barangan yang telah dirampas adalah 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis, sebuah kontena bersaiz 40 kaki dan sebuah lori tiga tan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata dalam serbuan kedua menerusi Op Taring Alpha di Bukit Sentosa, Rawang hari ini, pihaknya merampas rokok tidak berkastam bernilai lebih RM12 juta dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis serta penghantar barangan. 

Beliau berkata 27,100 karton rokok putih pelbagai jenis dan 4,560 karton rokok kretek pelbagai jenis selain sebuah van dirampas dalam serbuan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurut Azmi, pihaknya menerusi Biro Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) telah melaksanakan 69 serbuan di seluruh negara tahun ini serta menahan 107 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-sisa dengan nilai rampasan RM370 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400184