Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Hanya bermula dengan perasaan ingin tahu nikmat menjalani ibadah puasa selain pada masa sama kerana mahu menghormati kawan-kawan berbangsa Melayu pada bulan Ramadan, menarik minat ramai golongan bukan Islam untuk turut serta menjalani amalan itu.
Dikongsi bersama pengalaman itu di media sosial sehingga tular, keterujaan menyahut cabaran untuk berpuasa, mengunjungi bazar Ramadan, bersahur ataupun menunggu masa azan maghrib bagi berbuka, mengundang reaksi positif masyarakat Melayu yang memberi sokongan padu akan niat mereka.
Tidak terkecuali meneruskan lagi menjalani ibadah itu untuk tahun kedua, pempengaruh media sosial terkenal Wee Chuan Chin, 31, komited untuk cuba berpuasa penuh pada kali ini.
Lelaki yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan yang mesra disapa sebagai Abe Wee ini berkata inisiatif untuk berpuasa itu adalah didorong oleh usaha untuk lebih memahami budaya dan agama bangsa lain dengan lebih mendalam.
pic-2
"Saya banyak berkongsi mengenai budaya dan agama di media sosial. Saya percaya dengan memahami kepercayaan orang lain, kita bukan sahaja dapat lebih menghormati mereka tetapi juga melihat dunia daripada perspektif berbeza," katanya kepada Bernama.
Tidak menafikan ada tikanya abang kepada pempengaruh terkenal Wee Yun Nee ini terkandas untuk berpuasa penuh, namun itu sedikit pun tidak penah melunturkan semangatnya kerana pengalaman berpuasa memberikannya nikmat yang sukar dizahirkan bahkan sangat besar kepada dirinya.
Semakin menghargai rezeki yang diterima, beliau berkata berpuasa tidak sekadar menguji tahap kesabaran dan disiplin untuk menahan lapar dan dahaga tetapi juga ketahanan mental, fizikal seseorang individu itu sekali gus menjadikannya untuk lebih bersyukur dengan apa yang ada.
"Jika mahu mencuba berpuasa, jangan lakukannya sekadar ikut trend sebaliknya cuba fahami cabaran dan makna di sebaliknya. Boleh cuba separuh hari dahulu, yang penting, nikmati prosesnya dan ambil pengajaran daripadanya," katanya yang berhasrat berbuka di masjid pada minggu akhir Ramadan.
Begitu juga dengan pencipta kandungan Rex Au, 27. Biarpun sebelum ini gagal untuk berpuasa penuh, kali ini beliau berjaya mengatasinya dengan mengalihkan fokus pada kerja dan mengelak menonton kandungan berkaitan makanan dan minuman di media sosial.
pic-3
"Sebenarnya, tiada siapa suruh saya berpuasa. Saya berpuasa kerana dikelilingi rakan-rakan berbangsa Melayu malah mereka juga sangat menyokong keputusan ini. Tahun lepas, saya hanya mampu berpuasa separuh hari tetapi kali ini, saya berazam untuk berpuasa semampu yang mungkin,” katanya.
Bagi memastikannya dapat berpuasa penuh, pemegang Diploma Pemasaran daripada Kolej MDIS Malaysia ini juga akan cuba sedaya upaya untuk tidak terlepas bangun sahur kerana telah menikmati nikmat itu yang membuatkannya kekal bertenaga sepanjang berpuasa.
Berlainan pula dengan Lee Joey Leng, 25, yang mula berpuasa sebagai bentuk sokongan kepada bekas teman lelakinya kira-kira tiga tahun lepas, kini menjadi rutin tahunan yang penuh bermakna buat dirinya setiap kali tibanya Ramadan.
pic-4
"Pada tahun pertama, saya berpuasa kerana teman lelaki saya seorang Muslim. Saya ikut serta dan berjaya berpuasa selama 10 hari tanpa memikirkan maknanya, namun tetap meninggalkan pengalaman tidak dapat dilupakan. Tahun kedua, dipengaruhi keadaan sekeliling.
“Saya mempunyai ramai rakan Melayu dan apabila tiba Ramadan, mereka semua berpuasa dan saya pun turut sama kerana tidak mahu keseorangan. Puasa mengajar saya mengawal emosi, nafsu serta memberikan saya peluang merenung untuk membaiki diri dan mengamalkan pemakanan sihat,” katanya.
-- BERNAMA