DUNIA

Duterte Mungkin Hadapi Hukuman Penjara Sehingga 30 Tahun Atau Seumur Hidup - Malacanang

12/03/2025 06:08 PM

MANILA, 12 Mac (Bernama-PNA) -- Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte mungkin menghadapi hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup jika disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung dengan perang dadahnya yang kontroversial, kata Malacanang pada Rabu.

“Namun, ini bergantung kepada pembelaan yang boleh diambil oleh bekas presiden,” kata Setiausaha Rendah Pejabat Komunikasi Presiden dan Pegawai Akhbar Istana Claire Castro dalam satu taklimat media, menurut Agensi Berita Filipina (PNA).

Menurut laman sesawang ICC, mahkamah tidak mengenakan hukuman mati.

Namun, hakim-hakimnya boleh menjatuhkan hukuman penjara hingga 30 tahun atau penjara seumur hidup dalam kes-kes luar biasa. Sabitan boleh dirayu, dan mahkamah juga boleh mengarahkan pampasan untuk mangsa.

Penahanan Duterte oleh Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa tempatan susulan siasatan ICC yang sedang berlangsung berhubung dakwaan bahawa kempen anti-dadahnya menyebabkan ribuan pembunuhan di luar bidang kehakiman semasa beliau menjadi Datuk Bandar Davao City dan kemudian sebagai presiden.

Bekas presiden itu telah diterbangkan keluar negara pada Selasa malam.

Castro, seorang peguam berkata Duterte perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah tempatan di Belanda terlebih dahulu untuk menentukan kesahihan penangkapannya sebelum dibawa ke ICC untuk berhadapan dengan tuduhan.

Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr, berkata dalam satu sidang akhbar sejurus selepas pemergian Duterte ke The Hague, bahawa penangkapan itu dilakukan atas permintaan Interpol, bukan ICC.

-- BERNAMA-PNA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401671