EKONOMI

Scientex Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM123.95 Juta Pada Suku Kedua 2025

12/03/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Scientex Bhd (Scientex) menyusut 12.1 peratus kepada RM123.95 juta pada suku kedua berakhir 31 Jan, 2025 berbanding RM141.01 juta tahun sebelumnya.

Penyedia penyelesaian pembungkusan dan pembangunan hartanah itu berkata keuntungan operasi bahagian pembungkusannya merosot kepada RM42.1 juta daripada RM64.0 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan persaingan pasaran dalam produk pembungkusan industri. 

Bagaimanapun, Scientex dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan meningkat kepada RM1.11 bilion daripada RM1.09 bilion sebelumnya di tengah-tengah prestasi lebih baik bahagian hartanahnya. 

“Perolehan hartanah berada pada RM474.4 juta, mencerminkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding RM456.9 juta sebelumnya, disumbangkan oleh kemajuan projek pembinaan yang stabil bagi semua pembangunan dan penyiapan tujuh projek dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) di utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Selain itu, Scientex berkata pelancaran projek baharu di Pulai dan Senai (Johor), Sungai Dua (Pulau Pinang), Ipoh (Perak), Jenjarom (Selangor) dan Jasin (Melaka) menerima sambutan menggalakkan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan perolehan. 

Menurut Scientex, perolehan bahagian pembungkusan kekal stabil pada RM630.7 juta berbanding RM635.8 juta sebelumnya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (TK2025), keuntungan bersih kumpulan menurun kepada RM252.55 juta daripada RM278.85 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi perolehan meningkat kepada RM2.21 bilion daripada RM2.20 bilion.

Mengenai prospek, Scientex berkata walaupun berdepan persekitaran luaran yang mencabar, bahagian pembungkusan kekal komited untuk memacu prestasi yang mampan bagi tahun kewangan semasa.

Katanya, langkah untuk meningkatkan kemampuan perumahan di bawah Belanjawan 2025 berserta kestabilan Kadar Dasar Semalaman pada tiga peratus dijangka merangsang keyakinan pembeli, meningkatkan kadar pengambilan dan mengekalkan momentum jualan bagi projek perumahan mampu milik Scientex.

“Sambutan yang menggalakkan terhadap projek yang baharu dilancarkan di seluruh Malaysia baru-baru ini mencerminkan keyakinan pasaran dan peningkatan minat terhadap pembangunan kami.

“Berdasarkan momentum ini, pengambilalihan tanah di Bestari Jaya, Selangor; Jawi, Pulau Pinang dan Pulai, Johor, selain yang terbaharu pengambilalihan tanah seluas 528 ekar (213.67 hektar) di Paya Rumput, Melaka dijangka mengukuhkan prestasi bahagian hartanah dan mengembangkan pasaran sedia ada,” katanya.

Malah, Scientex berkata ia mengekalkan prospek yang positif dan berada di landasan yang betul bagi mencapai prestasi yang memuaskan pada TK2025.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401614