AM

Tidak Perlu Ke Sungai Golok Beli Juadah Berbuka - MB Kelantan

12/03/2025 10:57 PM

PASIR MAS, 12 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassurudin Daud mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil risiko berkunjung ke Sungai Golok, selatan Thailand semata-mata untuk membeli juadah berbuka puasa.

Beliau berkata ketika ini keadaan keselamatan di sana tidak menentu susulan insiden letupan bom pada 8 Mac lepas.

"Tiada keperluan untuk ke Sungai Golok dalam situasi sebegini sedangkan kita boleh menyokong peniaga tempatan di negeri sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan dan Penyerahan Dana Zakat Wakalah di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan sempadan agar lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berhubung situasi di selatan Thailand.

Pada 8 Mac, polis Thailand melaporkan bahawa satu letupan berlaku di sebuah pos keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok, diikuti beberapa tembakan dilepaskan oleh sekumpulan penyerang menyebabkan dua anggota keselamatan Thailand terbunuh manakala lapan lagi cedera.

Kementerian Luar pula meminta rakyat Malaysia untuk menangguhkan lawatan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani di Thailand buat masa ini manakala mereka yang melancong atau menetap di wilayah itu dinasihatkan supaya berhati-hati.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401790