JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Terima 894 Laporan Terhadap Zamri Vinoth - KPN

12/03/2025 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 894 laporan berhubung kenyataan kontroversi pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina agama Hindu, baru-baru ini. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah merakam keterangan Muhammad Zamri dan kertas siasatan masih dalam kajian Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Setakat ini, belum ada arahan lanjut daripada pihak AGC berhubung kes ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas mengenai kes membabitkan tiga pengacara radio Era FM yang seolah-olah mempersenda upacara agama lain, Razarudin berkata pihaknya belum menerima sebarang arahan lanjut daripada AGC. 

Razaruddin berkata setakat Mac tahun ini, pihak PDRM telah membuka 31 kertas siasatan mengenai isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

“Terdapat 17 kes berkaitan institusi diraja, dua kes perkauman dan 12 kes agama menjadikan kesemuanya 31 kes dan setakat ini, masih belum ada pertuduhan yang diputuskan oleh AGC,” katanya.

Selain itu, Razarudin menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan isu berkaitan 3R yang boleh menggugat keamanan negara, ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi serta keharmonian antara kaum di negara ini.

Beliau berkata isu 3R merupakan strategi perang baharu yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari.

“Orang ramai perlu bersikap lebih matang, tidak terlalu ikut emosi serta perlu menapis semua maklumat, berita atau video yang dikongsi di media sosial dan jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum sahih.

“Elakkan penulisan status, komen, ciapan, siaran gambar, poster atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosial budaya dan sensitiviti kaum sehingga mengakibatkan timbulnya rasa tidak senang, terhina atau tersinggung," katanya. 

Beliau berkata konsep 3R iaitu research (penyelidikan), responsibility (bertanggungjawab) dan report (lapor) wajar menjadi teras dan perlu sentiasa dibudayakan sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial, selain saling menghormati dan sayangkan keamanan. 

Tambah beliau orang ramai juga diminta jangan mudah terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401638