JENAYAH & MAHKAMAH

Disyaki Rogol Pelajar : Tenaga Pengajar Institut Kemahiran Di Kemaman Direman

13/03/2025 02:01 PM

CHUKAI, 13 Mac (Bernama) -- Seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di Kemaman direman enam hari kerana disyaki merogol seorang pelajarnya, hujung tahun lepas.

Perintah reman sehingga Selasa (18 Mac) ke atas lelaki berusia 38 tahun itu, dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata suspek telah ditahan pada 12.15 tengah malam tadi.

Beliau berkata mangsa yang kini berusia 18 tahun, telah tampil membuat laporan di balai polis pada 3.38 petang semalam.

“Pihak polis turut merampas sebuah kereta dan beberapa barangan lain untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Razi berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes tersebut termasuk sama ada terdapat pelajar lain yang turut menjadi mangsa.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401923