JENAYAH & MAHKAMAH

Op Outlander, Op Birth: Siasatan SPRM Turut Beri Tumpuan Kepada Proses JPN

12/03/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganalisis proses yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan penahanan 16 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan pendaftaran kelahiran  menggunakan dokumen sokongan palsu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata selain siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, pihaknya turut memberi tumpuan kepada proses keseluruhan di JPN.

"Kita akan berbincang dengan Ketua Pengarah JPN apabila siasatan selesai dan mempunyai dapatan mengenai proses di JPN," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azam berkata pihaknya percaya semua individu yang terbabit dalam kes tersebut telah berjaya ditahan dalam dua operasi semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Terdahulu, SPRM menahan 16 individu berusia 20-an hingga 70-an antara 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2013 hingga 2018 serta 2023 hingga 2025.

Mereka didakwa menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu.

Seramai 12 individu direman antara empat hingga lima hari sehingga 16 Mac ini, manakala empat lagi individu, termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka selesai dirakam.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401800