AM

Cuepacs Mohon Kerajaan Pertimbang Beri Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

13/03/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban mereka menyambut perayaan itu.

Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya berharap agar kerajaan meneruskan tradisi pemberian bantuan itu, yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.

“Kami memahami bahawa penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan. Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti-nantikan oleh penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan.

“Sambutan Aidilfitri sering kali melibatkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Adnan berkata apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi juga dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain.

“Oleh itu, kami percaya bahawa kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka,” katanya.

Beliau berkata Cuepacs juga amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan itu demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2402076