JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Kerugian Lebih RM200,000 Ditawar Kontrak Palsu

13/03/2025 08:30 PM

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pengarah syarikat barangan elektrik kerugian RM203,200 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menawarkan kontrak membekalkan barangan elektrik tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 38 tahun itu pada Selasa lepas, yang mendakwa diperdaya sindiket berkenaan sejak Februari lepas.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa semasa berada di rumahnya di Hutan Melintang pada 21 Feb lepas, menerima satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Cawangan Ipoh.

“Suspek menawarkan kepada syarikat mangsa satu kontrak membekalkan peralatan elektrik, dan suspek memberi surat pesanan kerajaan (LO) palsu di atas nama KBS kepada mangsa melalui WhatsApp sehingga mangsa mempercayainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakri berkata mangsa bagaimanapun dikehendaki berhubung dengan sebuah syarikat untuk proses kontrak penyediaan peralatan elektrik iaitu empat power station.

Beliau berkata mangsa bertindak menghubungi syarikat yang dicadangkan oleh suspek untuk menerima kontrak itu, dan mangsa membuat tiga transaksi wang secara atas talian ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM203,200.

“Setelah membuat transaksi itu, mangsa berasa curiga dan terus menghubungi pihak KBS bagi menyemak kelulusan kontrak berkenaan. Namun, pihak kementerian menyatakan bahawa kontrak itu tidak wujud," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2402158