AM

Kapal Layar Warga China Terdampar Di Muara Sungai Mukah

13/03/2025 06:17 PM

MUKAH, 13 Mac (Bernama) -- Sebuah kapal layar milik warganegara China dengan dinaiki tiga lelaki dari negara itu mengalami kerosakan enjin dan terdampar di pantai dekat muara Sungai Mukah, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Pulau Phuket, Thailand menuju ke China sekitar 6 pagi pada 8 Mac lepas, apabila enjin kapal tersebut mengalami kerosakan sewaktu melalui perairan Sarawak.

"Akibatnya, kapal mereka terdampar di pantai muara Sungai Mukah dan mereka terpaksa menaiki bot kecil untuk memasuki Sungai Mukah bagi membaiki bot berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki tersebut telah dibawa oleh penduduk Kampung Seberang untuk bertemu seorang lelaki Cina tempatan sebelum membuat laporan polis bagi tujuan rujukan Kedutaan China di Malaysia serta pihak berkaitan.

“Seorang daripada warga China itu tercicir beg galas yang mengandungi dokumen penting termasuk pasport dan barang peribadi di tengah laut,” katanya.

Beliau menambah kes berkenaan akan dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2402094