AM

MA63: Kerajaan MADANI Selesai Tunai Sembilan Tuntutan Setakat Ini - Fadillah

13/03/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyelesaian itu termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

Beliau berkata penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

“Perkara lain yang diselesaikan ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta penyediaan garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) yang pertama untuk Tahun 2025 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Menjelas lanjut, Fadillah berkata Kerajaan MADANI juga telah menyelesaikan penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah serta cadangan pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.

Kerajaan MADANI juga katanya, berjaya menyelesaikan penukaran status pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri, selain tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.

“Di samping itu, pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak secara interim masing-masing telah dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta bermula pada tahun ini,” katanya. 

Mengenai mesyuarat hari ini, Fadillah berkata ia amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara atau tuntutan di bawah MA63 yang belum selesai dilaksanakan.

Katanya, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Sept tahun lepas.

Fadillah berkata mesyuarat juga telah membincangkan enam kertas pembentangan beberapa kementerian/jabatan berkaitan antaranya status tindakan bagi perkara-perkara di bawah Kementerian Kewangan serta laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkenaan perkhidmatan awam negeri Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata turut dibincangkan ialah cadangan pindaan item 25A (Pelancongan) dalam senarai I (Persekutuan) jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan kepada senarai III (Bersama) jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. 

“Turut dibincangkan mengenai pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan, laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah dan Sarawak, dan laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata semua keputusan yang dipersetujui hari ini akan dibawa ke mesyuarat akan datang untuk pertimbangan dan persetujuan.

Sementara itu, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63, kata Fadillah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2402116