AM

Penentuan Bayaran Perundingan GP Swasta Pada Peringkat Akhir - Dzulkefly

13/03/2025 11:18 PM

SUNGAI BULOH, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam peringkat akhir perbincangan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi penentuan bayaran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia merupakan semakan bayaran perundingan di bawah Jadual 7 Akta 586 yang seharusnya dikemas kini bersama Jadual 13 yang telah dilaksanakan pada penggal pertama 2019.

“Kami sedang dalam proses perbincangan dengan DOSM untuk menentukannya berdasarkan data, buat masa ini bayaran pada kadar RM10 hingga RM35, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan memberi pek makanan kepada anggota kesihatan serta pesakit pada program Ziarah Ihsan Ramadan di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Dzulkefly berkata beliau telah mendapat sokongan dan pengesahan daripada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk menyemak semula Jadual 7 itu.

“Saya mendapat sokongan dan mendapat pengesahan daripada NACCOL, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kementerian Kewangan. Jadi, insya-Allah dalam waktu yang segera, perkara ini akan diputuskan,” katanya.

Pada Nov 2024, Dzulkefly mengumumkan bahawa kerajaan akan mewajibkan semua kemudahan penjagaan kesihatan swasta untuk memaparkan harga ubat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ketelusan kos rawatan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2402220