KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia menamatkan sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Selasa, berikutan penjualan sederhana di kaunter berwajaran tinggi didahului sektor kewangan serta produk dan perkhidmatan perindustrian.
Penjualan itu berlaku susulan kebimbangan berterusan pelabur mengenai ketidaktentuan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.59 mata kepada 1,529.95 daripada 1,537.54 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 7.85 mata lebih rendah kepada 1,529.69.
Pasaran secara keseluruhanannya tidak begitu memberangsangkan dengan 533 kaunter rugi mengatasi 305 kaunter untung, manakala 410 kaunter tidak berubah, 1,157 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.01 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan turun naik indeks penanda aras tempatan akan terus ketara menjelang tarikh akhir tempoh penangguhan tarif AS pada 9 Julai.
“FBM KLCI susut hampir 13 mata selepas menunjukkan prestasi yang baik minggu lepas, dan kami menjangkakan dana asing kembali menjadi penjual, mencerminkan tingkah laku dagangan jangka masa pendek mereka yang ketara.
“Bagi hari ini, kami mengunjurkan indeks berlegar antara paras 1,530 hingga 1,545,” katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd pula menjelaskan FBM KLCI mungkin terus mengalami situasi tidak banyak berubah dengan mencatatkan penurunan, sejak mencecah paras setinggi 1,589 mata pada 15 Mei lepas, berikutan pengenaan tarif 25 peratus oleh AS ke atas Malaysia.
“Tekanan jualan dijangka meningkat sejajar dengan kemungkinan aliran asing kembali sebagai penjual selepas dua minggu menjadi aliran masuk bersih bernilai RM335 juta,” menurut nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.69, CIMB turun 10 sen kepada RM6.65, dan IHH Healthcare menguncup tiga sen kepada RM6.69. Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.86, manakala Public Bank kekal pada RM4.33.
Bagi saham paling aktif, NexG dan Top Glove masing-masing naik satu sen kepada 43 sen dan 70 sen, Supermax menambah enam sen kepada 65 sen, Tanco susut setengah sen kepada 89 sen, dan Zetrix AI tidak berubah pada 95 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 47.87 mata kepada 11,470.79, Indeks FBMT 100 susut 50.90 mata kepada 11,242.33, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 64.06 mata kepada 11,436.67.
Indeks FBM 70 susut 53.53 mata kepada 16,569.92, manakala Indeks FBM ACE kurang 11.10 mata kepada 4,462.52.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 86.66 mata kepada 17,635.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.71 mata kepada 153.70, Indeks Tenaga menguncup 3.39 mata kepada 734.20, dan Indeks Perladangan berkurangan 28.15 mata kepada 7,416.86.
-- BERNAMA